MAKNA CINTA

Cinta adalah suatu perasaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalaminya sendiri. Cinta tak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung. Manusia membina sahsiah di muka bumi bermodalkan kasih sayang dan cinta. Cinta segalanya bagi orang yang sedang bercinta. Cinta menjadi jambatan penghubung kepada dua hati yang asalnya terpisah dan saling tidak mengerti.

Jika cinta sudah tiada di hati, tandanya salah satu nikmat ALLAH telah tercabut dan hilang. Sedangkan cinta salah satu nikmat teragung ALLAH terhadap hamba-hambaNYA. Jika seseorang sudah tidak dapat menghargai cinta, itu tandanya nilai kemanusiaan sudah mula terhakis. Ketiadaan cinta di hati bakal merubah seluruh kehidupan. Orang yang tiada perasaan cinta adalah orang yang telah kehilangan motivasi dalamannya. Cinta seharusnya melahirkan tindakan yang melambangkan kebahagiaan, kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan terutama dalam membuat keputusan berhubung dengan insan-insan berlawanan. Cinta adalah kenderaan menuju kebahagiaan.

Suburkanlah rasa cinta sebagaimana ia bermula. Saat bermulanya cinta adalah rasa teragung yang dirasai oleh setiap manusia. Inilah rasa yang tiada perkataan dapat menceritakannya. Tatkala cinta itu benar-benar menjadi motivasi yang terhebat. Andainya lautan api direntangkan di tengah-tengah, masih sanggup direnangi untuk menggambarkan rasa betapa cinta begitu memotivasi dan perlu bukti. Tiada lagi rasa teragung kecuali cinta. Cinta menggambarkan kegembiraan, keseronokan, kepuasan, kenikmatan dan semua rasa yang muluk-muluk dan sukar digambarkan dengan perkataan. Manusia yang beruntung adalah manusia yang meniti di atas cinta, memperoleh cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil di bawah kebesaran ILAHI.

Cinta yang murni adalah pemangkin kepada kehidupan bahagia. Sebagaimana ia bermula, cinta seharusnya berkekalan sedemikian rupa sehinggalah ke penghujungnya. Cinta tidak harus dinodai oleh perlakuan-perlakuan kejam, tidak bermoral dan juga tidak mencarik kesucian cinta itu sendiri. Andainya cinta boleh dikekalkan sebagaimana ia bermula, bahagia adalah jawapan untuknya. Kejayaan sebuah perhubungan memang banyak bergantung kepada sudi dan murninya cinta yang dipermodalkan. Selama mana cinta dapat dipertahankan pada kedudukannya, selama itulah bahagia menjadi penghias yang terindah. Apabila cinta sudah tidak dihargai, kehidupan akan berpaling ke tahap terendah. Jawapannya, derita tanpa penyudah.

Cinta murni sentiasa mampu memandu manusia melepasi semua halangan demi kecemerlangan. Cinta telah membuatkan manusia bangkit membina kehidupan yang terbaik. Alangkah bodohnya orang yang menjadikan cinta untuk membina kesusahan. Jika cinta dijelmakan dalam diri ia begitu memotivasikan. Jika diberikan kepada seseorang, ia ibarat menghadiahkan segunung emeas untuknya. Jika dijelmakan dalam rumah tangga, jawapanya adalah kerukunan dan persefahaman yang berpanjangan. Begitulah seharusnya cinta.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...